Oleh : Muhammad Aiman Najib Hamzah / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BERAKAS, Isnin, 27 April. - Majlis Musabaqah ini merupakan wadah penting dalam usaha berterusan negara untuk memartabatkan Al-Quran sebagai syiar serta pegangan dan panduan hidup yang syumul.
Musabaqah yang kini memasuki tahun ke-67 membuktikan pemerkasaannya yang terus subur dengan peredaran masa.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri bersabda demikian pada Majlis Perasmian Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas malam tadi.
Sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah tema tahun ini, 'Mengukuhkan Pembelajaran Al-Quran dan Menghayati Ajarannya', menyeru kepada seluruh lapisan masyarakat untuk bersama-sama menjunjung dan menanai tanggungjawab serta amanah yang sangat besar ini.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya bersabda, ayat-ayat suci Al-Quran bukan untuk dilafazkan semata-mata.
"Kalamullah diturunkan untuk dibaca dengan hati yang hadir, difahami dengan akal yang terbuka, dan dihidupkan dalam setiap tindak-tanduk kehidupan.
"Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Shad, ayat 29, tafsirnya: "(Al-Quran ini ialah) sebuah kitab yang Kami telah turunkan kepadamu (Wahai Nabi Muhammad), yang mengandungi berkat, supaya mereka memikirkan dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan supaya orang-orang yang mempunyai akal dapat mengambil pengajaran," Sabda Duli Yang Teramat Mulia.
Justeru sabda DYTM, majlis musabaqah ini bukan semata-mata tentang pertandingan. Ia adalah usaha bersama untuk menyemai dan memperkukuh kecintaan hakiki terhadap Al-Quran, membentuk sahsiah dan kerohanian generasi muda menjadi pewaris yang berpegang teguh kepada tauhid.
Di sebalik membaca dengan tartil, sabda DYTM, Allah Subhanahu Wata'ala juga memperingatkan kita dalam Surah Muhammad, ayat 24, iaitu tentang hikmah serta tuntutan yang lebih besar dalam menyantuni kitabullah sepertimana tafsirnya: "Maka tidakkah mereka memperhatikan Al-Quran ataukah hati mereka terkunci?"
Seterusnya dalam sabda DYTM, sebagaimana titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memperingatkan sempena majlis musabaqah tahun lalu bahawa "Al-Quran bukan sekadar bacaan, tetapi sebuah manual kehidupan yang mendidik akal-budi untuk mengenal hikmah dan kebenaran".
Titah baginda itu sabda DYTM, menegaskan bahawa penghayatan Al-Quran bukan sahaja membentuk insan yang bertaqwa, bahkan turut melahirkan akal yang tajam dan jiwa yang berilmu.
"Pada hemat saya, 'Celik Al-Quran' bermaksud lebih daripada sekadar keupayaan membaca. Ia menuntut generasi yang memahami apa yang dibacanya, lidah serta hatinya sentiasa tergerak oleh kehalusan kalam Allah, dan yang menjadikan Al-Quran sebagai pegangan terunggul dalam mendepani sebarang bentuk cabaran kehidupan. Perkara ini seiring dengan aspirasi negara, iaitu untuk secara berterusan memelihara kesejahteraan rakyat dan tanah air tercinta melalui gagasan pembangunan yang menyeluruh merangkumi aspek spiritual, intelektual, ekonomi, dan sosial.
"Dalam hubungan ini, saya menyambut baik dan menghargai komitmen berterusan semua pihak khasnya ke arah mempergiat serta mengembangkan pelbagai program 'Celik Al-Quran' termasuk kelas-kelas tadabbur untuk seluruh peringkat masyarakat", sabda DYTM.
DYTM seterusnya bersabda inisiatif sepadu pelbagai pihak berkepentingan ini telah semakin dipermudahkan melalui berbagai kemudahan digital, termasuk rakaman audio bacaan Al-Quran dan rancangan televisyen berkonsepkan pembelajaran Al-Quran yang boleh diakses melalui saluran media rasmi kerajaan RTBGo menurut kesesuaian masa setiap pencinta ilmu.
Sehubungan dengannya, sabda DYTM, mereka yang berpegang teguh kepada Al-Quran adalah juga mereka yang lebih kukuh dalam berhadapan dengan pengaruh negatif luar, serta lebih terdidik untuk mengenal dan memperkasa nilai-nilai falsafah negara Melayu Islam Beraja.
DYTM bersabda, di sinilah peranan kita semua untuk terus berusaha mengisi kehidupan dengan mendidik akal-budi yang berupaya mengenal 'hikmah dan kebenaran' yang dimaksudkan.
"Akhir kata, dengan lafaz kalimah agung Bismillah Hir Rahman Nir Rahim, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, saya sukacita merasmikan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1447H" demikian sabda DYTM.